Kemelut Perkahwinan Berakhir, Farid Kamil & Diana Danielle Bercerai Talak Satu!
Akhirnya kemelut dalam perkahwinan pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle temui jalan penamat apabila mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada petang Khamis.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahri melafazkan talak tersebut menerusi panggilan video susulan tidak dapat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari kerana tidak sihat.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof kira-kira jam 3.22 petang.
“Bahawa saya Farid Kamil Zahari menceraikan Diana Danielle Danny Beeson dengan talak satu,” lafaz Farid secara atas talian.
Diana atau nama sebenarnya Danielle Danny Beeson kelihatan tenang ketika lafaz dibacakan.
Peguam syarie mewakili Farid iaitu Fakhrol Azman Abu Hassan sebelum itu memberitahu pihaknya membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengadaka prosiding secara dalam talian selepas anak guamnya bersetuju melafazkan talak.
Dalam pada itu, Fakhrol memaklumkan Farid tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan susulan baru pulih daripada jangkitan Covid-19 sebelum ini.
“Hal ini (ketiadaan Farid) agak last minute. Dia masih tidak berapa sihat. Ada kesan sampingan Covid-19.
“Kami sudah berbicang banyak kali dan penyelesaian ini adalah yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Diana yang ditemui di luar mahkamah sebelum prosiding berlangsung memberitahu tidak meletakkan sebarang jangkaan dan sedia dengan keputusan dibuat mahkamah.
“Saya tidak meletakkan sebarabng harapan untuk hari ini. Apa sahaja yang berlaku kita kena bersedia,” ucapnya.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Dalam permohonan cerai itu, Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan), selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri yang juga alasannya untuk bercerai.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora 8.
0 Response to "Kemelut Perkahwinan Berakhir, Farid Kamil & Diana Danielle Bercerai Talak Satu! "