12 lokasi misteri dan berhantu yang paling seram di Malaysia
Bagi yang suka mendengar dan membaca cerita hantu, anda berada di tempat yang betul. Dalam artikel ini kami senaraikan beberapa lokasi misteri dan berhantu yang seram di Malaysia.
Kawasan dan rumah berhantu ini selalu dikaitkan dengan kejadian hitam yang pernah berlaku di tempat tersebut. Kejadian seperti pembunuhan, kematian dan ilmu hitam pasti akan menjadi buah mulut masyarakat sekeliling sekaligus menghasilkan stigma seram dalam kalangan masyarakat terhadap sesuatu kawasan.
Pernahkah anda menghampiri kawasan yang dikatakan berhantu? Atau anda sendiri memasuki kawasan tersebut untuk mengetahui kisah seram disebalik kediaman yang dikatakan berhantu?
Ini adalah 12 lokasi misteri dan berhantu yang paling seram di Malaysia.
1. Kediaman Mona Fendi atau Mona Fendey
Mona Fendi adalah nama yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia dari zaman 90-an. Nama ini juga tidak lari dari dikaitkan dengan hantu. Mona Fendi yang merupakan seorang penyanyi dikatakan telah terlibat dengan satu ritual yang melibatkan ilmu hitam untuk membantu ahli politik, Mazlan Idris mendapatkan kekayaan dan kuasa. Ritual itu berakhir dengan ahli politik tersebut dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam di halaman belakang rumahnya.
Ada yang mengatakan rumah Mona Fendi yang terletak di Seksyen 12 Shah Alam masih berhantu sehingga kini. Malah, beliau juga pernah menyebut bahawa dia ‘tidak akan mati” sebelum dijatuhkan hukuman gantung pada 2001.
2. Villa Nabila
Selain daripada Mona Fendi, Villa Nabila juga terkenal dengan cerita seramnya sendiri. Villa Nabila dinamakan diatas nama anak perempuan keluarga yang tinggal di rumah tersebut. Terdapat banyak kemungkinan yang menyebabkan rumah di Johor Bharu ini dikatakan berhantu, antaranya kematian penghuni villa, pembunuhan berantai oleh pembunuh upahan dan bapanya yang dikatakan membunuh seluruh ahli keluarga kerana mempunyai masalah kewangan. Tidak kisah daripada mana datangnya cerita hantu di rumah tersebut, hanya yang betul-betul berani (atau gila) akan masuk ke rumah tersebut.
3. Highland Tower
Dalam senarai tempat paling berhantu di Malaysia, tidak sah kalau tidak sebut tentang Highland Towers. Bangunan yang terletak di Bukit Antarabangasa ini runtuh pada tahun 1993 dan membunuh 48 orang.
Bangunan ini dikatakan telah menjadi tempat tumpuan para pemburu hantu. Ada yang mengatakan pernah melihat jelmaan wanita tua dan bayi melintasi kawasan bangunan tinggal ini. Adakah ini hantu bayi berusia 8 bulan nenek berusia 77 tahun yang meninggal dunia ketika runtuhan tersebut berlaku? Tiada siapa yang tahu jawapannya. Rancangan untuk merobohkan bangunan ini telah banyak kali diusulkan, peliknya ia tidak pernah terjadi.
4. 99 Mansion/ Caledonia House atau Byram Estate
Dikenali dengan nama 99 Mansion, Byram Estate dan juga Caledonia House, lokasi rumah berusia lebih daripada 150 tahun ini terletak di Pulau Pinang serta penuh dengan kisah pembunuhan dan ilmu hitam.
Terdapat cerita yang mengatakan bahawa berlakunya pembunuhan terancang terhadap cucu kepada sebuah keluarga yang tinggal di 99 Mansion. Seluruh keluarga yang menetap di situ juga dikatakan dibunuh oleh tentera Jepun yang menceroboh ke Malaysia.
Bangunan ini seterusnya dihuni oleh seorang doktor yang mengamalkan ilmu hitam yang mungkin telah meninggalkan segala hantu yang dimilikinya di bangunan tersebut dan menyebabkan bangunan tersebut bertambah seram.
5. Bukit Tunku
Bukit Tunku yang terletak di Kuala Lumpur ini merupakan tempat tinggal bagi golongan atasan kerana harganya yang terlalu mahal. Rumah di Bukit Tunku juga pernah menjadi rumah yang termahal yang terjual di tahun 2020. Walaupun begitu terdapat beberapa rumah yang dikatakan berhantu dan mempunyai sejarah hitam.
Cerita hantu di Bukit Tunku dikaitkan dengan rumah penjajahan British yang dihantui oleh hantu wanita yang telah membunuh diri dan hantu misteri yang berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu malam.
6. Banglo di Taman Tenaga Puchong
Banglo ini terletak di kawasan berbukit. Pemilik banglo ini dikatakan telah meninggalkan rumahnya dalam keadaan terbiar kerana terlihat satu kejadian yang menggerunkan. Versi lainnya pula mengatakan telah berlaku pembunuhan yang melibatkan nyawa satu keluarga yang pernah berhutang kepada ceti haram.
Mereka yang berani memasuki bangunan ini mengatakan pernah ternampak lilin berwarna merah yang dikaitkan dengan pelbagai ritual.
7. Kellie’s Castle
Bangunan ala Scottish ini terletak di Batu Gajah, Perak. Bangunan ini telah dibina oleh William Kellie Smith untuk isteri (Agnes) dan dua orang anaknya, Helen dan Anthony. Bangunan istana ini dibina untuk menunjukkan kejayaannya tetapi disebabkan oleh masalah kekurangan wang, bangunan ini tidak berjaya disiapkan.
Keadaan semakin buruk apabila William meninggal dunia di Lisbon pada usia 56 tahun. Keluarganya telah mengambil keputusan untuk menjual bangunan yang belum siap tersebut. Pemilik baharu bagunan tersebut juga tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bangunan yang dibelinya dan bangunan tersebut dibiarkan begitu sahaja.
Semasa penjajahan Jepun, bangunan istana itu telah digunakan sebagai tempat untuk menyeksa dan membunuh tahanan. Ada yang mengatakan pernah ternampak kelibat hantu yang berlegar di sekitar bangunan tersebut. Selain itu, tiada siapa yang pasti.
8. Rumah Berhantu Bukit Gasing / Rumah SG
Tiada kena mengena dengan negara Singapura. Nama SG diberi kerana dipagarnya terdapat tulisan S dan G yang besar. Nak tahu bagaimana anda berada di lokasi yang tepat, anda akan dapat lihat dua buah kereta jenis Alfa Romeo dan Porsche yang terbiar.
Cerita mengapa rumah ini berhantu masih menjadi misteri, namun ada cerita yang mengatakan isteri kepada tuan rumah telah menuduh suaminya mempunyai hubungan dengan perempuan simpanan dan telah telah membunuh perempuan tersebut. Manakala suaminya pula membunuh diri selepas mengetahui isterinya membunuh diri dengan menggantung dirinya sendiri.
Terdapat juga ceita bekaitan dengan seorang pengamal ilmu hitam yang menjadikan tempat tersebut sebagai tempat menguji kekuatannya. Apa pun cerita yang anda dengar, janganlah masuk ke rumah berhantu ini, melainkan anda sendiri yang mencari masalah.
9. Hotel Mandirin Pacific
Ada desas desus mengatakan Hotel Mandarin Pacific yang terletak di tengah-tengah KL ini berhantu. Ramai juga yang mengatakan terdengar bunyi pintu dan kerusi bergerak pada waktu malam atau bunyi guli jatuh di atas lantai (mengikut kepercayaan orang Melayu, bunyi ini bermakna tempat ini berhantu). Semua cerita ini dikatakan berpunca daripada bilik 1102.
10. First World Hotel
Sukar nak percaya, tapi terdapat cerita mengenai First World Hotel yang berhantu berpunca daripada salah satu mangsa judi yang telah kehabisan wang dan mengambil keputusan untuk membunuh diri. Buktinya, ada beberapa tetamu hotel yang tiba-tiba jatuh sakit, terbau kemenyan di sesetengah kawasan (terumata di kawasan yang pernah dilalu mangsa, menurut kepercayaan Cina).
Namun, bilik-bilik di hotel tersebut habis ditempah tak kisah apa pun alasannya.
11. Mimaland
Sebelum Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun popular..kita pernah ada Mimaland!
Sukar nak percaya yang suatu ketika dahulu, Mimaland yang terletak di Gombak adalah taman tema air yang paling hebat pernah dibina di Malaysia.
Masalah Mimaland bermula dengan kematian pelancong dari Singapura yang berumur 27 tahun. Kematiannya berpunca daripada papan gelongsor dan beberapa masalah keselamatan yang menyusul. Terdapat rancangan untuk menghidupkan semula Mimaland, namun gagal.
Kami tidak pernah dengar cerita orang terlihat hantu di sini. Namun, berjalan di sekitar ini pastinya membuatkan bulu roma anda berdiri.Sebaik boleh kami cuba elaknya.
12. Banglo Jalan Turi
Pada tahun 1992, seorang pengawal keselamatan banglo ini telah membunuh dua kanak-kanak dan seorang pembantu rumah di sini serta membuang mayat mereka di dalam tangki septik rumah tersebut.
Ada beberapa orang yang melalui Jalan Turi, Taman Bukit Bandaraya telah terlihat satu susuk tubuh budak yang melihat keluar di satu banglo terbiar.
Banglo Jalan Turi ini sekarang telah dirobohkan, tapi siapa yang tahu apa yang masih menghantui kawasan tersebut.
Bagaimana untuk ketahui jika anda hampir terbeli rumah atau hartanah yang berhantu?
Tahukah anda, bahawa ejen hartanah terikat dengan undang-undang yang tidak membenarkan mereka memberitahu anda bahawa hartanah yang bakal dibeli adalah berhantu? Hanya masalah berkaitan barangan yang telah rosak sepertu masalah wayar, paip, perabot yang telah rosak dan juga kemudahan lain. Ia adalah sesuatu perkara yang tidak beretika, jadi kebanyakan ejen tidak mehu menjejaskan reputasi mereka.
Untuk alternatif lain, sekiranya anda memilih untuk membeli rumah lelong, dan anda serta ejen hartanah juga tidak mampu untuk memeriksa rumah tersebut terlebih dahulu, ini antara yang anda boleh lakukan terutamanya jika anda pernah mendengar cerita yang kurang enak didengari, tambah pula jika berkaitan dengan kejadian yang sukar dijelaskan.
Sentiasa berurusan dengan ejen hartanah yang boleh dipercayai.
- Lakukan carian online dan cari laporan berita atau mengenai rumah atau lokasi tersebut
- Berbual dengan kejiranan di situ, tak kisah sama ada jiran atau juga pemilik kedai di situ
- Upah peguam untuk lakukan siasatan mengenai sejarah hartanah tersebut
- Lakukan amalan keagamaan/ritual sebelum berpindah masuk
Sekiranya anda telah terbeli rumah yang berhantu (anda ketahuinya sejurus menyelesaikan setiap kertas kerja), ini apa yang anda boleh lakukan mengikut undang-undang.
0 Response to "12 lokasi misteri dan berhantu yang paling seram di Malaysia"